Saturday, February 6, 2010

NGO Islam perlu proaktif

Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 19 Dis. - Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini perlu lebih efektif dan proaktif sebagai kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan agama.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, sudah sampai masanya NGO terbabit bergerak aktif dan tampil ke hadapan membantu memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam.

Katanya, dalam sebuah negara demokrasi, terdapat satu lagi elemen selain parti-parti politik yang berperanan sebagai kumpulan pendesak yang mampu mempengaruhi senario politik negara.

''NGO perlu memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak yang tersusun, berstrategi, tinggi dan proaktif," katanya dalam ucapan di majlis perasmian Muktamar Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) Peringkat Zon Timur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Abdul Ghani Mohammad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut Jamil berkata, desakan-desakan dalam bentuk pandangan, bantahan, cadangan dan idea yang membina dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

''Jika kita menyedari sepenuhnya hal ini dan dapat menggerakkan jaringan desakan ini secara sistematik, NGO dan MAIM boleh menjadi pelindung kepada umat Islam di negara ini.

''Desakan-desakan ini akan memberikan impak yang kuat dalam pembentukan dasar kerajaan. Semua ini menunjukkan kekuatan dan kuasa yang boleh dimainkan oleh NGO," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang boleh dibanggakan dengan kemajuan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

0 comments:

Post a Comment