Thursday, February 4, 2010

Dakwah bilhal Perkim Terengganu


YB Ustaz Khazan merenjis air mawar dan bunga rampai kepada pasangan pengantin.

SEJAJAR dengan pelaksanaan Bulan Dakwah di seluruh negara, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Terengganu telah menerajui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu dan Kelab Perkim Universiti Darul Iman (UDM) mengadakan aktiviti bercorak kebajikan sosial di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Hulu Jabur, Kemaman bermula 5 hingga 7 Mac lalu.


Program yang dinamakan Integrasi Sosial Bersama Masyarakat Kampung Sungai Pergam ini telah berjalan lancar dan menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Felcra, KEMAS, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan juga daripada JKKK Kampung Sungai Pergam sendiri, banyak pengisian menarik telah berjaya diadakan sepanjang program itu.

Menurut Penyelaras Program yang juga Pegawai Eksekutif Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Mohd. Subri Jaafar, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat yang diadakan.

"Pelajar-pelajar Kelab Perkim UDM telah diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kampung. Mereka telah diberi peranan untuk mewujud dan menjalinkan hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat untuk jangka masa panjang.

"Selain bantuan daripada aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, mereka juga diminta mempraktikkan sifat kecaknaan (prihatin) kepada keluarga angkat mereka dalam semua segi termasuk kebersihan, kesihatan dan keagamaan," ujar Subri.

Malah tambah beliau, kejayaan mewujudkan keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat, kerana inilah kali pertama masyarakat kampung tersebut bersedia menerima anak angkat. Selama ini mereka bersifat merendah diri dan tidak mahu menerima anak angkat.

Program integrasi pada kali ini juga mencipta sejarah tersendiri bagi penduduk kampung kerana enam pasangan daripada kalangan mereka telah berjaya diijabkabul dan disandingkan.

Selepas upacara akad nikah, mereka telah diarak ke pentas utama untuk majlis keraian dan persandingan. Ternyata sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung amat menggalakkan dan mereka cukup tertarik dengan majlis yang diadakan.

Pelbagai aktiviti lain juga diadakan seperti Bengkel Bimbingan Busana Muslim, Pertandingan Penghayatan Islam merangkumi kuiz, pertandingan azan, membaca puisi dan juga karaoke nasyid. Juga diadakan pertandingan sukaneka, bolasepak dan juga tarik tali.

Pihak Pejabat Kesihatan pula mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan juga pameran kesihatan kepada penduduk kampung dan juga masyarakat kampung berjiran, manakala pihak KEMAS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kemaman mengadakan Pertandingan Rumah Bersih.

Program tiga hari dua malam itu telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, YB Khazan Che Mat. Turut hadir ialah Naib Pengerusi Perkim Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Ariffin Shuhaimi, Pengerusi Perkim Negeri Terengganu, Datuk Ismail Yahya, wakil Ketua Pengarah Jakim, Ustaz Hashim Salleh dan beberapa orang kenamaan lain.

YB Khazan dalam ucapannya menjelaskan bahawa prinsip sebenar agama Islam adalah bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Islam bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.

Beliau menyeru kepada masyarakat kampung agar menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukanlah sekadar pada nama sahaja.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha membantu masyarakat Orang Asli untuk maju dan mendalami ajaran Islam melalui pelantikan Penggerak Masyarakat Jakim dan juga menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

Aspek pendidikan juga turut disentuh oleh beliau, khususnya dalam melaksanakan hasrat kerajaan memastikan sifar buta huruf di negara ini.

Tegasnya, hanya dengan pelajaran Orang Asli akan bertambah maju dan boleh menguruskan hidup mereka dengan sempurna di masa akan datang.

Pada majlis itu, selain meraikan pengantin dengan renjisan air mawar dan bunga rampai, Khazan turut menyampaikan hadiah kepada setiap pasangan dan juga kepada pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan sepanjang program.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek membudayakan cara hidup Islam di kalangan mereka.


YB Ustaz Khazan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan sepanjang program.


0 comments:

Post a Comment