Monday, February 1, 2010

Islam Bukan Barang Dagangan Raih Undi



Semua pihak khususnya parti pembangkang disaran tidak menjadikan agama sebagai barang dagangan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat ketika berceramah di Peti Undi Gelugor Raja berkata soal agama tidak seharusnya dijadikan modal dagangan pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sedang berjalan.

Menurut beliau semua pihak boleh berkempen dengan apa jua strategi masing-masing dan berkempenlah secara sihat dan bukannya memperalatkan agama semata-mata untuk meraih undi.

"BN sesungguhnya tidak pernah menjadikan agama sebagai barang dagangan kerana kita tidak mahu mengelirukan umat Islam di negara ini selain daripada menimbulkan kecelaruan perpaduan sesama kita. Kita mahu umat Islam bersatu padu dan tidak bergaduh sesama sendiri demi kepentingan bersama. Inilah yang BN tekankan termasuk dalam soal pembangunan yang seimbang", katanya.

Kata beliau lagi, BN menekankan pembangunan seimbang dalam semua aspek termasuk ibadah, akhlak dan sebagainya.

"Cuba kita lihat hari ini. BN telah lakukan segala-galanya seperti menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik untuk dinikmati oleh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Jadi di manakah kekurangan kita dalam soal pembelaan terhadap rakyat seperti yang difitnah oleh parti pembangkang", soalnya.

0 comments:

Post a Comment