Saturday, February 6, 2010

Sikap masyarakat punca masjid kotor, tak terurus

KUALA TERENGGANU 23 Dis 2009 - Walaupun kerajaan negeri banyak membangunkan masjid di negeri ini namun masih terdapat masjid yang berada di luar kawasan laluan jalan utama yang kelihatan kotor dan tidak diurus dengan sempurna.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata masalah berkenaan berlaku disebabkan tahap kesedaran masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga kebersihan, termasuk di masjid masih rendah.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memantau perkara itu dan mengambil langkah-langkah tertentu bagi meningkatkan tahap kebersihan masjid bagi memastikan imej umat Islam tidak terjejas.

Katanya, antara langkah yang dilakukan kerajaan ialah menyediakan elaun kepada kakitangan masjid supaya bagi membersih kawasan rumah ibadat berkenaan, khususnya tandas.

"Dalam hal ini pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu menjaga kebersihan masjid dengan memberi elaun kepada petugas di masjid-masjid tertentu, terutama yang berada di laluan utama supaya ia sentiasa bersih," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khazan berkata, pihak kerajaan melalui JHEAT akan meningkatkan tahap kesedaran kepada masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga rumah ibadat itu kerana ia merupakan fardu kifayah.

Beliau meminta mereka sama-sama membantu meningkatkan kebersihan masjid dan mengimarahkannya dengan pelbagai kegiatan yang memberi faedah kepada umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Khazan berkata, kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid akan diisi segera dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran masjid di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, JHEAT telah diarah supaya memberi keutamaan kepada masalah kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid dan mengisi semua kekosongan yang dikenalpasti.

"Pada masa yang sama, JHEAT juga diminta turut memantau pengurusan masjid, termasuk aspek kebersihan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan jemaah," tambahnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment