Saturday, February 6, 2010

Hormat kalimah Allah 'lafaz jalalah' umat Islam

KUALA TERENGGANU 2 Januari 2010 - Para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan 'lafaz jalalah' iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.


Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, kalimah itu tidak boleh digunakan sewenang- wenangnya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Katanya, penggunaan perkataan tuhan telah memadai bagi urusan formal yang merujuk kepada penggunaannya dalam Rukun Negara.

"Jika kita lihat, penggunaan perkataan tuhan digunakan dalam Rukun Negara iaitu 'kepercayaan kepada tuhan' dan ia jelas sekali difahami semua penganut.

"Jadi tiada alasan pihak gereja untuk menggunakan kalimah Allah memandangkan perkataan tuhan melambangkan semua bangsa dan agama, cuma apa yang membezakannya ialah apa yang disembah oleh mereka.

"Bagi umat Islam mereka menyembah Allah dan kalimah Allah adalah panggilan paling mulia dan tertinggi, jadi bukan Islam perlu menghormatinya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, umat Islam berharap kerajaan membuat rayuan dan menimbang semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, keinginan penganut agama lain untuk menggunakan kalimah suci Allah secara tiba-tiba itu menimbulkan keraguan.

"Bagi saya keinginan mereka menggunakan kalimah Allah ini sebahagian usaha untuk mengelirukan masyarakat.

"Saya harap kerajaan dapat meminda undang-undang agar penggunaan kalimah Allah ini hanya digunakan bagi penganut agama Islam," jelasnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment