Saturday, February 6, 2010

RM2.2j biaya Program Pintar al-Quran

KUALA TERENGGANU 31 Disember 2009 - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.2 juta bagi membiayai Program Pintar al-Quran dengan matlamat lebih ramai kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun mampu khatam al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kerajaan negeri mensasarkan 6,000 kanak-kanak akan khatam al-Quran tahun depan berbanding 4,622 orang tahun ini.

"Semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak menyertai Program Pintar al-Quran yang diperkenalkan pada tahun 2006 kerana ia mendedahkan kanak-kanak kepada al-Quran seawal usia lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Program tersebut membabitkan kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Yayasan Islam Terengganu bagi membolehkan kanak-kanak dilatih membaca al-Quran sejak berusia lima tahun.

Pada tahun pertama ia diperkenalkan, seramai 937 kanak-kanak menyertai majlis khatam al-Quran secara serentak serta berjaya mencipta rekod Malaysian Guinness Book of Record.

Khazan memberitahu, jumlah kanak-kanak yang khatam al-Quran pada tahun berikutnya meningkat kepada 2,010 orang setelah Tabika Kemas turut menyertai Program Pintar al-Quran.

Pada tahun 2008 pula, jumlah itu terus meningkat kepada 2,660 orang apabila kelas Tabika di bawah seliaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Jabatan Perpaduan Negara turut menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan Program Pintar al-Quran yang semakin mendapat sambutan, YIT akan membina dua tabika baru pada tahun depan iaitu di Kemaman dan Permint Jaya, Kuala Terengganu.

Dari : Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment