Monday, February 8, 2010

Terengganu Biaya Pelajar Thai Belajar Falak

Kerajaan negeri akan membiayai pengajian 10 pelajar dari Selatan Thailand di bidang astronomi bagi meningkatkan pengetahuan penduduk di wilayah berkenaan berhubung ilmu falak, mulai tahun ini.



Pelajar berkenaan dipilih dari lima wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam dan ditempatkan di Universiti Darul Iman (UDM) serta menggunakan kemudahan balai cerap di Merang, bagi mengikuti pengajian di bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada pihak berkuasa agama di Pattani yang kagum dengan kemudahan di bidang astronomi yang ada di Terengganu.

“Majlis Agama Islam Wilayah Pattani meminta pelajar mereka turut diberi peluang mempelajari bidang astronomi di Terengganu bagi membolehkan mereka menentukan tarikh awal bulan pada setiap bulan, secara lebih tepat menggunakan kaedah hisab.



“Tokoh-tokoh agama di Selatan Thailand berpendapat jika penduduk di kawasan itu mempelajari bidang astronomi, masalah ketidakseragaman penentuan tarikh permulaan puasa dan Hari Raya Puasa di wilayah-wilayah Selatan Thailand dapat diatasi,” katanya.



Haji Kazan yang mengetuai rombongan delegasi Islam dari Terengganu dan Kelantan melawat kawasan Selatan Thailand, berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Thailand di pejabat Kementerian Luar Thailand, baru-baru ini.

Sebelum itu, rombongan berkenaan dibawa melawat beberapa tempat pengajian agama dan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, bagi meninjau masalah yang dihadapi mereka dalam melaksanakan urusan agama.

Mereka juga diberi taklimat mengenai pembangunan dan pelbagai projek yang dirancang di wilayah berkenaan oleh gabenor-gabenor wilayah terbabit.



Haji Kazan berkata, hasil lawatan tersebut ahli-ahli rombongan yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan organisasi berkaitan agama Islam, telah mendapat gambaran sebenar keadaan yang berlaku di wilayah Selatan Thailand.

“Selama ini kita hanya melihat apa yang berlaku di Selatan Thailand melalui televisyen atau membaca di akhbar. Melalui lawatan ini kita mendapat maklumat yang lebih tepat dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku di kawasan ini.



“Daripada penelitian dan taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Thailand, saya dan ahli rombongan membuat kesimpulan bahawa keadaan di Selatan Thai selamat dan boleh dilawati pada bila-bila masa,” katanya.

selanjutnya

Sunday, February 7, 2010

RM50 Juta Bina Kampus Baru IQT

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM50 juta untuk membina kampus baru Institut al-Quran Terengganu (IQT) di kawasan seluas 100 hektar, di Cherang Ruku, Chendering, Kuala Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata peruntukan tersebut bagi membiayai projek fasa pertama yang akan dimulakan pembinaannya akhir tahun ini.

“Langkah ini diambil memandangkan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa di negeri ini yang ingin menempatkan anak-anak mereka di IQT tetapi kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung pelajar daripada sepatutnya,” katanya pada majlis perasmian Program Persijilan dan Kulliyyah al-Furqan 2010 di IQT, Padang Midin, Kuala Terengganu semalam (7 Februari).

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan (Agama dan Penerangan Negeri) Encik Lukema Meri Salleh dan Pengarah IQT, Haji Abdul Aziz Che Muda.

Pembinaan kampus itu akan melalui tiga fasa, dilengkapi beberapa kemudahan termasuk asrama untuk pelajar dan kakitangan, dewan fakulti yang boleh menampung 3,000 pelajar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

“Kita berharap apabila siapnya kampus baru nanti beserta kemudahan, kelengkapan yang sempurna dan selesa, Insya-Allah usaha untuk menaik taraf IQT kepada sebuah kolej atau universiti akan tercapai,” katanya.

YB Kazan berkata, IQT bermula sebagai Maahad Tahfiz kemudian naik taraf kepada Institut al-Quran dan usaha ke arah menjadi sebuah universiti sudah lama tetapi masih banyak kekurangan yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Tambahnya, permintaan terhadap kelas mingguan di IQT amat menggalakkan dan usaha membesarkan bangunan tidak dapat dilakukan kerana kawasan yang terhad di mana dengan terbinanya bangunan baru dapat memberi peluang lebih ramai penyertaan masyarakat tempatan.

“Kita berhasrat suatu hari nanti dapat melahirkan pelajar-pelajar berkelulusan diploma dan ijazah seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang kini bertaraf universiti,” katanya.


selanjutnya

Saturday, February 6, 2010

Hormat kalimah Allah 'lafaz jalalah' umat Islam

KUALA TERENGGANU 2 Januari 2010 - Para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan 'lafaz jalalah' iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.


Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, kalimah itu tidak boleh digunakan sewenang- wenangnya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Katanya, penggunaan perkataan tuhan telah memadai bagi urusan formal yang merujuk kepada penggunaannya dalam Rukun Negara.

"Jika kita lihat, penggunaan perkataan tuhan digunakan dalam Rukun Negara iaitu 'kepercayaan kepada tuhan' dan ia jelas sekali difahami semua penganut.

"Jadi tiada alasan pihak gereja untuk menggunakan kalimah Allah memandangkan perkataan tuhan melambangkan semua bangsa dan agama, cuma apa yang membezakannya ialah apa yang disembah oleh mereka.

"Bagi umat Islam mereka menyembah Allah dan kalimah Allah adalah panggilan paling mulia dan tertinggi, jadi bukan Islam perlu menghormatinya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, umat Islam berharap kerajaan membuat rayuan dan menimbang semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, keinginan penganut agama lain untuk menggunakan kalimah suci Allah secara tiba-tiba itu menimbulkan keraguan.

"Bagi saya keinginan mereka menggunakan kalimah Allah ini sebahagian usaha untuk mengelirukan masyarakat.

"Saya harap kerajaan dapat meminda undang-undang agar penggunaan kalimah Allah ini hanya digunakan bagi penganut agama Islam," jelasnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

RM2.2j biaya Program Pintar al-Quran

KUALA TERENGGANU 31 Disember 2009 - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.2 juta bagi membiayai Program Pintar al-Quran dengan matlamat lebih ramai kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun mampu khatam al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kerajaan negeri mensasarkan 6,000 kanak-kanak akan khatam al-Quran tahun depan berbanding 4,622 orang tahun ini.

"Semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak menyertai Program Pintar al-Quran yang diperkenalkan pada tahun 2006 kerana ia mendedahkan kanak-kanak kepada al-Quran seawal usia lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Program tersebut membabitkan kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Yayasan Islam Terengganu bagi membolehkan kanak-kanak dilatih membaca al-Quran sejak berusia lima tahun.

Pada tahun pertama ia diperkenalkan, seramai 937 kanak-kanak menyertai majlis khatam al-Quran secara serentak serta berjaya mencipta rekod Malaysian Guinness Book of Record.

Khazan memberitahu, jumlah kanak-kanak yang khatam al-Quran pada tahun berikutnya meningkat kepada 2,010 orang setelah Tabika Kemas turut menyertai Program Pintar al-Quran.

Pada tahun 2008 pula, jumlah itu terus meningkat kepada 2,660 orang apabila kelas Tabika di bawah seliaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Jabatan Perpaduan Negara turut menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan Program Pintar al-Quran yang semakin mendapat sambutan, YIT akan membina dua tabika baru pada tahun depan iaitu di Kemaman dan Permint Jaya, Kuala Terengganu.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

Sikap masyarakat punca masjid kotor, tak terurus

KUALA TERENGGANU 23 Dis 2009 - Walaupun kerajaan negeri banyak membangunkan masjid di negeri ini namun masih terdapat masjid yang berada di luar kawasan laluan jalan utama yang kelihatan kotor dan tidak diurus dengan sempurna.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata masalah berkenaan berlaku disebabkan tahap kesedaran masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga kebersihan, termasuk di masjid masih rendah.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memantau perkara itu dan mengambil langkah-langkah tertentu bagi meningkatkan tahap kebersihan masjid bagi memastikan imej umat Islam tidak terjejas.

Katanya, antara langkah yang dilakukan kerajaan ialah menyediakan elaun kepada kakitangan masjid supaya bagi membersih kawasan rumah ibadat berkenaan, khususnya tandas.

"Dalam hal ini pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu menjaga kebersihan masjid dengan memberi elaun kepada petugas di masjid-masjid tertentu, terutama yang berada di laluan utama supaya ia sentiasa bersih," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khazan berkata, pihak kerajaan melalui JHEAT akan meningkatkan tahap kesedaran kepada masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga rumah ibadat itu kerana ia merupakan fardu kifayah.

Beliau meminta mereka sama-sama membantu meningkatkan kebersihan masjid dan mengimarahkannya dengan pelbagai kegiatan yang memberi faedah kepada umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Khazan berkata, kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid akan diisi segera dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran masjid di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, JHEAT telah diarah supaya memberi keutamaan kepada masalah kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid dan mengisi semua kekosongan yang dikenalpasti.

"Pada masa yang sama, JHEAT juga diminta turut memantau pengurusan masjid, termasuk aspek kebersihan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan jemaah," tambahnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

NGO Islam perlu proaktif

Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 19 Dis. - Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini perlu lebih efektif dan proaktif sebagai kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan agama.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, sudah sampai masanya NGO terbabit bergerak aktif dan tampil ke hadapan membantu memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam.

Katanya, dalam sebuah negara demokrasi, terdapat satu lagi elemen selain parti-parti politik yang berperanan sebagai kumpulan pendesak yang mampu mempengaruhi senario politik negara.

''NGO perlu memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak yang tersusun, berstrategi, tinggi dan proaktif," katanya dalam ucapan di majlis perasmian Muktamar Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) Peringkat Zon Timur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Abdul Ghani Mohammad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut Jamil berkata, desakan-desakan dalam bentuk pandangan, bantahan, cadangan dan idea yang membina dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

''Jika kita menyedari sepenuhnya hal ini dan dapat menggerakkan jaringan desakan ini secara sistematik, NGO dan MAIM boleh menjadi pelindung kepada umat Islam di negara ini.

''Desakan-desakan ini akan memberikan impak yang kuat dalam pembentukan dasar kerajaan. Semua ini menunjukkan kekuatan dan kuasa yang boleh dimainkan oleh NGO," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang boleh dibanggakan dengan kemajuan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

selanjutnya

Idris dilantik Pengerusi Biro Pengundi Luar

MARANG 28 Sept 2009 – Badan Perhubungan UMNO Terengganu hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi biro yang baru termasuk Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetuai Biro Politik.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pula diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Pengurusan UMNO negeri.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar.

Katanya, penubuhan biro itu penting dalam usaha memantapkan kedudukan UMNO selain keutuhan parti terus terpelihara.

‘‘Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategi dan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengetuai Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

‘‘Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan kini diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih akan diketuai Exco kerajaan negeri, Yahya Khatib Mohamad manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Biro Perancangan dan Penerangan.

Katanya, Biro Ekonomi diketuai oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Md. Jidin Shafee manakala Biro Sekretariat Bilik Gerakan diketuai ADUN Kota Raja, Muhamad Pehimi Yusof.

Senator Fatimah Hamat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perayu Undi dan Gerak Mesra dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Saiful Bahari Baharuddin mengetuai Jawatankuasa Sasaran Pengundi Muda dan Belia.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya