Sunday, February 7, 2010

RM50 Juta Bina Kampus Baru IQT

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM50 juta untuk membina kampus baru Institut al-Quran Terengganu (IQT) di kawasan seluas 100 hektar, di Cherang Ruku, Chendering, Kuala Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata peruntukan tersebut bagi membiayai projek fasa pertama yang akan dimulakan pembinaannya akhir tahun ini.

“Langkah ini diambil memandangkan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa di negeri ini yang ingin menempatkan anak-anak mereka di IQT tetapi kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung pelajar daripada sepatutnya,” katanya pada majlis perasmian Program Persijilan dan Kulliyyah al-Furqan 2010 di IQT, Padang Midin, Kuala Terengganu semalam (7 Februari).

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan (Agama dan Penerangan Negeri) Encik Lukema Meri Salleh dan Pengarah IQT, Haji Abdul Aziz Che Muda.

Pembinaan kampus itu akan melalui tiga fasa, dilengkapi beberapa kemudahan termasuk asrama untuk pelajar dan kakitangan, dewan fakulti yang boleh menampung 3,000 pelajar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

“Kita berharap apabila siapnya kampus baru nanti beserta kemudahan, kelengkapan yang sempurna dan selesa, Insya-Allah usaha untuk menaik taraf IQT kepada sebuah kolej atau universiti akan tercapai,” katanya.

YB Kazan berkata, IQT bermula sebagai Maahad Tahfiz kemudian naik taraf kepada Institut al-Quran dan usaha ke arah menjadi sebuah universiti sudah lama tetapi masih banyak kekurangan yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Tambahnya, permintaan terhadap kelas mingguan di IQT amat menggalakkan dan usaha membesarkan bangunan tidak dapat dilakukan kerana kawasan yang terhad di mana dengan terbinanya bangunan baru dapat memberi peluang lebih ramai penyertaan masyarakat tempatan.

“Kita berhasrat suatu hari nanti dapat melahirkan pelajar-pelajar berkelulusan diploma dan ijazah seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang kini bertaraf universiti,” katanya.


0 comments:

Post a Comment