Sunday, January 31, 2010

Gerhana Matahari Di Minggu Falak 2009


YB Ustaz Khazan melihat fenomena gerhana matahari yang berlaku pada petang 26 Januari 2009 di Taman Tamadun Islam. Gambar kecil ialah urutan fenomena gerhana matahari antara jam 4.37 petang dan 5.50 petang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Minggu Falak (Astronomi) Terengganu 2009 yang berlangsung bermula 25 hingga 27 Januari memfokuskan kepada fenomena gerhana matahari berikutan fenomena tersebut mampu dilihat jelas di Terengganu.


Fenomena gerhana matahari separa dapat dilihat jelas hampir semua kawasan Asia Tenggara termasuklah di Terengganu dimana fenomena tersebut juga pernah disaksikan penduduk tempatan pada tahun 1998.

Pada tahun ini sebanyak dua kali fenomena gerhana matahari berlaku termasuklah pada 26 Januari berlaku pada magnitud 60 peratus manakala pada 22 Julai pada magnitud 20 peratus.

Turut hadir menyaksikan fenomena tersebut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Yb. Khazan Che Mat; Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dato’ Abdul Latiff Awang dan Pengarah Urusan PSKT, Dr. Mohd Zaki Mohd Said.


Pelajar Universiti Darul Iman menggunakan cermin mata khas untuk melihat fenomena gerhana matahari di Taman Tamadun Islam.

Sempena program tersebut, Universiti Darul Iman (UDM) turut menyediakan kelengkapan alat cerap untuk orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri fenomena gerhana matahari tersebut di perkarangan Tasik al-Jazari, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, hari ini (26 Januari).

Tepat jam 4.37 petang fenomena tersebut mula kelihatan sehinggalah jam 7.00 petang dan fenomena tersebut dijangkakan berlaku lagi pada tahun 2031.

YB. Khazan ketika ditemui berkata program yang diadakan itu mampu mengembalikan minat terutamanya para pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Ini satu langkah bijak yang diambil oleh pihak yang terlibat pada hari ini diharap ianya menjadi pencetus kepada kebangkitan dunia sains islam yang kini dikuasai oleh dunia barat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment