Monday, February 8, 2010

Terengganu Biaya Pelajar Thai Belajar Falak

Kerajaan negeri akan membiayai pengajian 10 pelajar dari Selatan Thailand di bidang astronomi bagi meningkatkan pengetahuan penduduk di wilayah berkenaan berhubung ilmu falak, mulai tahun ini.



Pelajar berkenaan dipilih dari lima wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam dan ditempatkan di Universiti Darul Iman (UDM) serta menggunakan kemudahan balai cerap di Merang, bagi mengikuti pengajian di bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada pihak berkuasa agama di Pattani yang kagum dengan kemudahan di bidang astronomi yang ada di Terengganu.

“Majlis Agama Islam Wilayah Pattani meminta pelajar mereka turut diberi peluang mempelajari bidang astronomi di Terengganu bagi membolehkan mereka menentukan tarikh awal bulan pada setiap bulan, secara lebih tepat menggunakan kaedah hisab.



“Tokoh-tokoh agama di Selatan Thailand berpendapat jika penduduk di kawasan itu mempelajari bidang astronomi, masalah ketidakseragaman penentuan tarikh permulaan puasa dan Hari Raya Puasa di wilayah-wilayah Selatan Thailand dapat diatasi,” katanya.



Haji Kazan yang mengetuai rombongan delegasi Islam dari Terengganu dan Kelantan melawat kawasan Selatan Thailand, berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Thailand di pejabat Kementerian Luar Thailand, baru-baru ini.

Sebelum itu, rombongan berkenaan dibawa melawat beberapa tempat pengajian agama dan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, bagi meninjau masalah yang dihadapi mereka dalam melaksanakan urusan agama.

Mereka juga diberi taklimat mengenai pembangunan dan pelbagai projek yang dirancang di wilayah berkenaan oleh gabenor-gabenor wilayah terbabit.



Haji Kazan berkata, hasil lawatan tersebut ahli-ahli rombongan yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan organisasi berkaitan agama Islam, telah mendapat gambaran sebenar keadaan yang berlaku di wilayah Selatan Thailand.

“Selama ini kita hanya melihat apa yang berlaku di Selatan Thailand melalui televisyen atau membaca di akhbar. Melalui lawatan ini kita mendapat maklumat yang lebih tepat dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku di kawasan ini.



“Daripada penelitian dan taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Thailand, saya dan ahli rombongan membuat kesimpulan bahawa keadaan di Selatan Thai selamat dan boleh dilawati pada bila-bila masa,” katanya.

selanjutnya

Sunday, February 7, 2010

RM50 Juta Bina Kampus Baru IQT

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM50 juta untuk membina kampus baru Institut al-Quran Terengganu (IQT) di kawasan seluas 100 hektar, di Cherang Ruku, Chendering, Kuala Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata peruntukan tersebut bagi membiayai projek fasa pertama yang akan dimulakan pembinaannya akhir tahun ini.

“Langkah ini diambil memandangkan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa di negeri ini yang ingin menempatkan anak-anak mereka di IQT tetapi kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung pelajar daripada sepatutnya,” katanya pada majlis perasmian Program Persijilan dan Kulliyyah al-Furqan 2010 di IQT, Padang Midin, Kuala Terengganu semalam (7 Februari).

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan (Agama dan Penerangan Negeri) Encik Lukema Meri Salleh dan Pengarah IQT, Haji Abdul Aziz Che Muda.

Pembinaan kampus itu akan melalui tiga fasa, dilengkapi beberapa kemudahan termasuk asrama untuk pelajar dan kakitangan, dewan fakulti yang boleh menampung 3,000 pelajar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

“Kita berharap apabila siapnya kampus baru nanti beserta kemudahan, kelengkapan yang sempurna dan selesa, Insya-Allah usaha untuk menaik taraf IQT kepada sebuah kolej atau universiti akan tercapai,” katanya.

YB Kazan berkata, IQT bermula sebagai Maahad Tahfiz kemudian naik taraf kepada Institut al-Quran dan usaha ke arah menjadi sebuah universiti sudah lama tetapi masih banyak kekurangan yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Tambahnya, permintaan terhadap kelas mingguan di IQT amat menggalakkan dan usaha membesarkan bangunan tidak dapat dilakukan kerana kawasan yang terhad di mana dengan terbinanya bangunan baru dapat memberi peluang lebih ramai penyertaan masyarakat tempatan.

“Kita berhasrat suatu hari nanti dapat melahirkan pelajar-pelajar berkelulusan diploma dan ijazah seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang kini bertaraf universiti,” katanya.


selanjutnya

Saturday, February 6, 2010

Hormat kalimah Allah 'lafaz jalalah' umat Islam

KUALA TERENGGANU 2 Januari 2010 - Para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan 'lafaz jalalah' iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.


Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, kalimah itu tidak boleh digunakan sewenang- wenangnya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Katanya, penggunaan perkataan tuhan telah memadai bagi urusan formal yang merujuk kepada penggunaannya dalam Rukun Negara.

"Jika kita lihat, penggunaan perkataan tuhan digunakan dalam Rukun Negara iaitu 'kepercayaan kepada tuhan' dan ia jelas sekali difahami semua penganut.

"Jadi tiada alasan pihak gereja untuk menggunakan kalimah Allah memandangkan perkataan tuhan melambangkan semua bangsa dan agama, cuma apa yang membezakannya ialah apa yang disembah oleh mereka.

"Bagi umat Islam mereka menyembah Allah dan kalimah Allah adalah panggilan paling mulia dan tertinggi, jadi bukan Islam perlu menghormatinya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, umat Islam berharap kerajaan membuat rayuan dan menimbang semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, keinginan penganut agama lain untuk menggunakan kalimah suci Allah secara tiba-tiba itu menimbulkan keraguan.

"Bagi saya keinginan mereka menggunakan kalimah Allah ini sebahagian usaha untuk mengelirukan masyarakat.

"Saya harap kerajaan dapat meminda undang-undang agar penggunaan kalimah Allah ini hanya digunakan bagi penganut agama Islam," jelasnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

RM2.2j biaya Program Pintar al-Quran

KUALA TERENGGANU 31 Disember 2009 - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.2 juta bagi membiayai Program Pintar al-Quran dengan matlamat lebih ramai kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun mampu khatam al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kerajaan negeri mensasarkan 6,000 kanak-kanak akan khatam al-Quran tahun depan berbanding 4,622 orang tahun ini.

"Semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak menyertai Program Pintar al-Quran yang diperkenalkan pada tahun 2006 kerana ia mendedahkan kanak-kanak kepada al-Quran seawal usia lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Program tersebut membabitkan kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Yayasan Islam Terengganu bagi membolehkan kanak-kanak dilatih membaca al-Quran sejak berusia lima tahun.

Pada tahun pertama ia diperkenalkan, seramai 937 kanak-kanak menyertai majlis khatam al-Quran secara serentak serta berjaya mencipta rekod Malaysian Guinness Book of Record.

Khazan memberitahu, jumlah kanak-kanak yang khatam al-Quran pada tahun berikutnya meningkat kepada 2,010 orang setelah Tabika Kemas turut menyertai Program Pintar al-Quran.

Pada tahun 2008 pula, jumlah itu terus meningkat kepada 2,660 orang apabila kelas Tabika di bawah seliaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Jabatan Perpaduan Negara turut menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan Program Pintar al-Quran yang semakin mendapat sambutan, YIT akan membina dua tabika baru pada tahun depan iaitu di Kemaman dan Permint Jaya, Kuala Terengganu.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

Sikap masyarakat punca masjid kotor, tak terurus

KUALA TERENGGANU 23 Dis 2009 - Walaupun kerajaan negeri banyak membangunkan masjid di negeri ini namun masih terdapat masjid yang berada di luar kawasan laluan jalan utama yang kelihatan kotor dan tidak diurus dengan sempurna.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata masalah berkenaan berlaku disebabkan tahap kesedaran masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga kebersihan, termasuk di masjid masih rendah.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memantau perkara itu dan mengambil langkah-langkah tertentu bagi meningkatkan tahap kebersihan masjid bagi memastikan imej umat Islam tidak terjejas.

Katanya, antara langkah yang dilakukan kerajaan ialah menyediakan elaun kepada kakitangan masjid supaya bagi membersih kawasan rumah ibadat berkenaan, khususnya tandas.

"Dalam hal ini pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu menjaga kebersihan masjid dengan memberi elaun kepada petugas di masjid-masjid tertentu, terutama yang berada di laluan utama supaya ia sentiasa bersih," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khazan berkata, pihak kerajaan melalui JHEAT akan meningkatkan tahap kesedaran kepada masyarakat tempatan mengenai kepentingan menjaga rumah ibadat itu kerana ia merupakan fardu kifayah.

Beliau meminta mereka sama-sama membantu meningkatkan kebersihan masjid dan mengimarahkannya dengan pelbagai kegiatan yang memberi faedah kepada umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Khazan berkata, kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid akan diisi segera dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran masjid di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, JHEAT telah diarah supaya memberi keutamaan kepada masalah kekosongan pelbagai jawatan pegawai masjid dan mengisi semua kekosongan yang dikenalpasti.

"Pada masa yang sama, JHEAT juga diminta turut memantau pengurusan masjid, termasuk aspek kebersihan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan jemaah," tambahnya.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

NGO Islam perlu proaktif

Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 19 Dis. - Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini perlu lebih efektif dan proaktif sebagai kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan agama.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, sudah sampai masanya NGO terbabit bergerak aktif dan tampil ke hadapan membantu memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam.

Katanya, dalam sebuah negara demokrasi, terdapat satu lagi elemen selain parti-parti politik yang berperanan sebagai kumpulan pendesak yang mampu mempengaruhi senario politik negara.

''NGO perlu memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak yang tersusun, berstrategi, tinggi dan proaktif," katanya dalam ucapan di majlis perasmian Muktamar Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) Peringkat Zon Timur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Abdul Ghani Mohammad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut Jamil berkata, desakan-desakan dalam bentuk pandangan, bantahan, cadangan dan idea yang membina dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

''Jika kita menyedari sepenuhnya hal ini dan dapat menggerakkan jaringan desakan ini secara sistematik, NGO dan MAIM boleh menjadi pelindung kepada umat Islam di negara ini.

''Desakan-desakan ini akan memberikan impak yang kuat dalam pembentukan dasar kerajaan. Semua ini menunjukkan kekuatan dan kuasa yang boleh dimainkan oleh NGO," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang boleh dibanggakan dengan kemajuan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

selanjutnya

Idris dilantik Pengerusi Biro Pengundi Luar

MARANG 28 Sept 2009 – Badan Perhubungan UMNO Terengganu hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi biro yang baru termasuk Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetuai Biro Politik.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pula diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Pengurusan UMNO negeri.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar.

Katanya, penubuhan biro itu penting dalam usaha memantapkan kedudukan UMNO selain keutuhan parti terus terpelihara.

‘‘Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategi dan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengetuai Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

‘‘Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan kini diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih akan diketuai Exco kerajaan negeri, Yahya Khatib Mohamad manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Biro Perancangan dan Penerangan.

Katanya, Biro Ekonomi diketuai oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Md. Jidin Shafee manakala Biro Sekretariat Bilik Gerakan diketuai ADUN Kota Raja, Muhamad Pehimi Yusof.

Senator Fatimah Hamat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perayu Undi dan Gerak Mesra dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Saiful Bahari Baharuddin mengetuai Jawatankuasa Sasaran Pengundi Muda dan Belia.

Dari : Utusan Malaysia Online

selanjutnya

Thursday, February 4, 2010

Jangan Persiakan Usia Muda


YB Khazan menyampaikan cenderahati kepada peserta Program Jati Diri Kesukarelawan Nasianal peringkat negeri di Kampung Bukit Wan

Golongan remaja dinasihatkan tidak mensia-siakan usia muda dengan mencari ilmu setinggi mungkin sebagai persediaan menjalani kehidupan pada masa depan.


“Mereka juga harapan keluarga untuk meneruskan cita-cita ibu bapa yang tidak kesampaian akibat kesempitan hidup dan sebagainya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat di majlis perasmian penutup Program Jati Diri Diri Kesukarelawan Nasional, Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit pada 31 Mei 2008.

Turut hadir, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Harun; Pengawai Penyelaras Program, Encik Saiful Mazlan Abdul Rahman; Pengetua Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong, Encik Rozaki Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Kemauan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Chek Harun Ismail.

Katanya, kehidupan hari ini memerlukan daya saing yang kuat, jika tidak ada kekuatan fizikal dan mental serta cetek pengetahuan remaja akan mudah terpedaya dengan mainan dunia. “Sebenarnya hidup kita ini pendek sahaja dan tidak banyak perkara yang boleh dilakukan, tidak ada orang yang meninggal itu telah selesai segala kerja dan ibadahnya di dunia ini,” kata YB Khazan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit.

Peserta program turut menyertai gotong-royong membersih kampung

Katanya, kesempatan yang ada ini perlu dimanfaatkan dengan baik dan jujur untuk kebahagiaan di dunia dan keberkatan di akhirat. Seramai 104 orang peserta terdiri daripada anak-anak yatim Asrama Darul Iman, Pulau Kerengga, Marang dan Asrama Darul Falah, Bukit Payong menyertai program ini selama tiga hari dua malam bermula 29 Mei lalu. Pelbagai aktiviti bertujuan mengeratkan silaturahim antara peserta serta keluarga angkat termasuk gotong royong membersih kampung, sukaneka, futsal dan bola jaring serta memasak .

Sementara itu, penduduk kampung berkenaan meanggap kehadiran anak yatim ke kampung mereka sebagai satu rahmat. Malah, sebagai tanda kegembiraan, ada penduduk yang menyumbang seekor lembu serta wang tunai untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim ini.

Seramai 104 peserta tiba untuk menyertai program selama tiga hari itu



selanjutnya

Dakwah bilhal Perkim Terengganu


YB Ustaz Khazan merenjis air mawar dan bunga rampai kepada pasangan pengantin.

SEJAJAR dengan pelaksanaan Bulan Dakwah di seluruh negara, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Terengganu telah menerajui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu dan Kelab Perkim Universiti Darul Iman (UDM) mengadakan aktiviti bercorak kebajikan sosial di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Hulu Jabur, Kemaman bermula 5 hingga 7 Mac lalu.


Program yang dinamakan Integrasi Sosial Bersama Masyarakat Kampung Sungai Pergam ini telah berjalan lancar dan menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Felcra, KEMAS, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan juga daripada JKKK Kampung Sungai Pergam sendiri, banyak pengisian menarik telah berjaya diadakan sepanjang program itu.

Menurut Penyelaras Program yang juga Pegawai Eksekutif Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Mohd. Subri Jaafar, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat yang diadakan.

"Pelajar-pelajar Kelab Perkim UDM telah diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kampung. Mereka telah diberi peranan untuk mewujud dan menjalinkan hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat untuk jangka masa panjang.

"Selain bantuan daripada aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, mereka juga diminta mempraktikkan sifat kecaknaan (prihatin) kepada keluarga angkat mereka dalam semua segi termasuk kebersihan, kesihatan dan keagamaan," ujar Subri.

Malah tambah beliau, kejayaan mewujudkan keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat, kerana inilah kali pertama masyarakat kampung tersebut bersedia menerima anak angkat. Selama ini mereka bersifat merendah diri dan tidak mahu menerima anak angkat.

Program integrasi pada kali ini juga mencipta sejarah tersendiri bagi penduduk kampung kerana enam pasangan daripada kalangan mereka telah berjaya diijabkabul dan disandingkan.

Selepas upacara akad nikah, mereka telah diarak ke pentas utama untuk majlis keraian dan persandingan. Ternyata sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung amat menggalakkan dan mereka cukup tertarik dengan majlis yang diadakan.

Pelbagai aktiviti lain juga diadakan seperti Bengkel Bimbingan Busana Muslim, Pertandingan Penghayatan Islam merangkumi kuiz, pertandingan azan, membaca puisi dan juga karaoke nasyid. Juga diadakan pertandingan sukaneka, bolasepak dan juga tarik tali.

Pihak Pejabat Kesihatan pula mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan juga pameran kesihatan kepada penduduk kampung dan juga masyarakat kampung berjiran, manakala pihak KEMAS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kemaman mengadakan Pertandingan Rumah Bersih.

Program tiga hari dua malam itu telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, YB Khazan Che Mat. Turut hadir ialah Naib Pengerusi Perkim Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Ariffin Shuhaimi, Pengerusi Perkim Negeri Terengganu, Datuk Ismail Yahya, wakil Ketua Pengarah Jakim, Ustaz Hashim Salleh dan beberapa orang kenamaan lain.

YB Khazan dalam ucapannya menjelaskan bahawa prinsip sebenar agama Islam adalah bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Islam bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.

Beliau menyeru kepada masyarakat kampung agar menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukanlah sekadar pada nama sahaja.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha membantu masyarakat Orang Asli untuk maju dan mendalami ajaran Islam melalui pelantikan Penggerak Masyarakat Jakim dan juga menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

Aspek pendidikan juga turut disentuh oleh beliau, khususnya dalam melaksanakan hasrat kerajaan memastikan sifar buta huruf di negara ini.

Tegasnya, hanya dengan pelajaran Orang Asli akan bertambah maju dan boleh menguruskan hidup mereka dengan sempurna di masa akan datang.

Pada majlis itu, selain meraikan pengantin dengan renjisan air mawar dan bunga rampai, Khazan turut menyampaikan hadiah kepada setiap pasangan dan juga kepada pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan sepanjang program.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek membudayakan cara hidup Islam di kalangan mereka.


YB Ustaz Khazan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan sepanjang program.


selanjutnya

Kejohanan Motocross Jemputan Kg.Apal, Jabi, Setiu, Terengganu



Menyampaikan Hadiah di Kejohanan Motocross Jemputan Kg.Apal, Jabi, Setiu, Terengganu pada 10hb Februari 2009 pukul 9.03 ptg.

selanjutnya

Monday, February 1, 2010

Islam Bukan Barang Dagangan Raih Undi



Semua pihak khususnya parti pembangkang disaran tidak menjadikan agama sebagai barang dagangan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat ketika berceramah di Peti Undi Gelugor Raja berkata soal agama tidak seharusnya dijadikan modal dagangan pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sedang berjalan.

Menurut beliau semua pihak boleh berkempen dengan apa jua strategi masing-masing dan berkempenlah secara sihat dan bukannya memperalatkan agama semata-mata untuk meraih undi.

"BN sesungguhnya tidak pernah menjadikan agama sebagai barang dagangan kerana kita tidak mahu mengelirukan umat Islam di negara ini selain daripada menimbulkan kecelaruan perpaduan sesama kita. Kita mahu umat Islam bersatu padu dan tidak bergaduh sesama sendiri demi kepentingan bersama. Inilah yang BN tekankan termasuk dalam soal pembangunan yang seimbang", katanya.

Kata beliau lagi, BN menekankan pembangunan seimbang dalam semua aspek termasuk ibadah, akhlak dan sebagainya.

"Cuba kita lihat hari ini. BN telah lakukan segala-galanya seperti menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik untuk dinikmati oleh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Jadi di manakah kekurangan kita dalam soal pembelaan terhadap rakyat seperti yang difitnah oleh parti pembangkang", soalnya.

selanjutnya

Bubur Asyura Eratkan Silatulrahim



Semangat bergotong royong yang menjadi amalan masyarakat kampong terus disuburkan dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan penduduk setempat dan ianya lebih meriah apabila tiba bulan Muharam atau bulan asyura.


Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memain peranan untuk mengatur program mengacau bubur asyura seperti apa yang dilakukan JKKK Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, baru-baru ini.

Sebanyak enam kawah bubur dimasak secara bergotong royong yang membabitkan JKKK, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Belia 4B, Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.
Program yang berlangsung di perkarangan bangunan KRT Bukit Wan turut dihadiri
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

YB Haji Khazan yang turut mengambil bahagian mengacau bubur asyura kemudiannya menikmati jamuan makan tengahari dengan lauk selera kampong seperti ikan singang sambal belacan, ikan panggang dan ulam-ulaman.

“Saya akan memberi lebih banyak masa untuk bertemu dengan penduduk kampong dalam keadaan santai begini disamping mengunjungi wagra emas yang uzur dari masa kesemasa,” katanya ketika ditemui selepas berkunjung kerumah warga emas Awang Said di kampong berkenaan.

Sebanyak 150 paket bubur asyura telah diagihkan kepada semua penduduk dalam Kampong Bukit Wan yang sekaligus dapat bersama merasai dan mengeratkan ikatan silatulrahim antara satu sama lain.


selanjutnya